Farhat Nazirul Mubin Bin Bohari
Calon Sarjana Pengurusan Pembangunan Islam
No Matrik: P-SM0013/14
Media
sosial merupakan platform yang digunakan secara meluas untuk perkongsian
maklumat dalam kalangan manusia seluruh dunia. Istilah media sosial ini merujuk
kepada penggunaan media yang berasaskan kepada internet atau perkhidmatan mudah
alih yang membolehkan penggunanya menyertai pertukaran atas talian, menyumbang
kepada kandungan yang diciptakan pengguna atau menyertai komuniti atas talian
(Dewing, 2010). Sehingga kini, telah banyak aplikasi-aplikasi media sosial yang
dicipta sebagai medium pertukaran maklumat seperti Chrome dan Whatsapp. Selain
daripada sebagai kaedah berkomunikasi, media sosial ini turut berperanan sebagai
alat pemasaran bagi perniagaan dan juga digunakan secara meluas untuk pelbagai
kempen seperti kempen kesedaran. Laman sesawang seperti Facebook, Twitter dan
Instagram banyak digunakan kerana mampu mencapai lebih ramai pengguna dan lebih
cepat berbanding penggunaan media massa (Lifintseva, Isaev dan Shishkina, 2015).
Namun, di sebalik pelbagai kelebihan dan kebaikan yang wujud ini, tersembunyi
suatu perkara yang amat membahayakan umat manusia iaitu fitnah. Menurut Roslan
Mohamed dan Siti Aishah Abu Bakar (2010), sebelum sesuatu pembangunan fizikal boleh
dilakukan, akal dan jiwa manusia perlu dibangunkan terlebih dahulu demi
melahirkan insan yang berfikiran bersih dan berakhlak mulia. Perbuatan fitnah
secara sengaja atau pun tidak melalui media sosial, menunjukkan kekurangan
pembentukan insaniah yang dimiliki oleh penyebarnya.
Allah
SWT berfirman:
"Dan
bunuhlah mereka (musuh yang memerangi kamu) di mana sahaja kamu dapati mereka,
dan usirlah mereka dari tempat yang mereka telah mengusir kamu; dan (ingatlah
bahawa angkara) fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan dan
janganlah kamu memerangi mereka di sekitar masjid al-Haraam sehingga mereka
memerangi kamu di situ. Oleh itu kalau mereka memerangi kamu (di situ), maka
bunuhlah mereka. Demikianlah balasan bagi orang-orang yang kafir."
(Surah
al-Baqarah, 2:191)
Berdasarkan
ayat al-Quran di atas, jelas menunjukkan bahawa fitnah itu lebih besar daripada
pembunuhan. Perbuatan fitnah ini juga tidak selari dengan konsep hubungan
manusia dengan manusia (habl min al-nas)
yang ada dalam Islam sedangkan konsep menjaga hubungan antara manusia amat
ditekankan dalam Islam seperti di dalam hadis daripada Abu Hurairah bahawasanya
Nabi Muhammad SAW bersabda:
"Jauhilah
prasangka buruk, karena prasangka buruk ucapan yang paling dusta, dan janganlah
kalian saling mendiamkan, jangan saling mencari kesalahan dan jangan saling
mendengki, jangan saling memusuhi dan jangan saling membenci, dan jadilah
kalian semua hamba-hamba Allah yang bersaudara."
(Riwayat
al-Bukhari 6064, 78:94)
Fitnah
juga merupakan perbuatan orang-orang munafik berdasarkan Firman Allah:
"Kamu
juga akan dapati golongan-golongan yang lain (yang pura-pura Islam) supaya
mereka beroleh aman dari pihak kamu, dan (sebaliknya mereka melahirkan kekufurannya)
supaya mereka beroleh aman dari pihak kaumnya (yang masih kafir). Tiap-tiap
kali mereka diajak kepada fitnah (pencerobohan), mereka segera terjerumus ke
dalamnya. Oleh itu, jika mereka tidak membiarkan kamu (dan terus mengganggu
atau berpihak kepada musuh), dan (tidak pula) menawarkan perdamaian kepada kamu
dan juga (tidak) menahan tangan mereka (daripada memerangi kamu), maka
hendaklah kamu bertindak menawan mereka dan membunuh mereka di mana sahaja kamu
menemuinya; kerana merekalah orang-orang yang Kami jadikan bagi kamu alasan
yang terang nyata untuk bertindak terhadapnya."
(Surah
an-Nisaa', 4:91)
Ayat
di atas menunjukkan bahawa golongan munafik ini sanggup memfitnah orang Islam
sendiri demi mencapai kesejahteraan bersama dengan golongan kafir. Oleh itu,
adalah amat penting untuk kita menjauhi perbuatan fitnah demi pembangunan
insaniah diri dan mencapai matlamat hidup yang utama iaitu mencari keredhaan
Allah (mardhatillah).
Definisi
Fitnah
merupakan satu jenayah di Malaysia dan perbuatan fitnah ini boleh dijatuhkan
hukuman di bawah Akta Fitnah 1957. Fitnah dari sudut bahasa bermaksud ujian.
Dari pengertian pula bermakna penganiayaan, kekejaman, syirik, kufur kepada
Allah SWT, pembunuhan, murtad dan lanjutan kepada pengertian ini membawa kepada
pentakrifan fitnah sebagai penyebaran kepalsuan (Syaifuddin Zuhri, 2012). Perbuatan
fitnah bukan saja dilarang dalam Islam, malah pihak barat turut menyatakan
fitnah ini sebagai satu jenayah seperti yang termaktub dalam Undang-undang
Sivil California yang menyatakan bahawa fitnah merupakan penerbitan palsu dan
menjatuhkan yang diucapkan secara lisan melalui komunikasi radio atau apa-apa
cara mekanikal atau lain-lain (Lundmark, 2006). Maka, fitnah media sosial boleh
didefinisikan sebagai penyebaran kepalsuan dengan menggunakan media sosial
sebagai perantaraan.
Kesan-kesan
Fitnah Media Sosial
Perbuatan
fitnah ini amat berbahaya kerana berlaku di semua peringkat manusia dari
kalangan individu, keluarga, masyarakat, organisasi bahkan negara. Penggunaan media
sosial sebagai kaedah berkongsi maklumat sangat digemari kerana capaiannya yang
lebih pantas dan dan pengguna yang ramai. Fitnah boleh mengakibatkan kesan yang
seperti berikut:
i)
Permusuhan individu
Fitnah boleh
menyebabkan seseorang itu bermusuh dengan orang lain. Amalan kebebasan dan
keterbukaan dalam bersuara boleh menjejaskan kredibiliti dan maruah individu
tertentu (Aminuddin Basir, Mohamad Sabri Haron dan Nik Yusri Musa, 2009). Apabila
seseorang itu melakukan fitnah dan orang yang difitnah itu mengetahui tentang
perkara tersebut menyebabkan tercetusnya kebencian antara satu sama lain.
ii)
Kemusnahan institusi kekeluargaan
Berlaku apabila
wujudnya perselisihan dalam kalangan ahli keluarga dan saudara-mara yang
menimbulkan pelbagai spekulasi dan fitnah yang menyerang antara satu sama lain.
Maka, hubungan persaudaraan menjadi renggang dan sekaligus memusnahkan
institusi kekeluargaan. Fitnah terhadap individu di dalam satu keluarga juga
turut menyebabkan seluruh ahli keluarga menjadi malu.
iii)
Perpecahan masyarakat
Fitnah yang
berlaku dalam kalangan masyarakat menyebabkan perpecahan masyarakat dan umat Islam
apabila sekumpulan manusia dalam masyarakat menfitnah sekumpulan yang lain.
Penggunaan media komunikasi secara tidak berakhlak boleh menyebabkan keruntuhan
nilai-nilai yang baik dalam sesuatu masyarakat (Aminuddin Basir, Mohamad Sabri
Haron dan Nik Yusri Musa, 2009). Hal ini biasa dilihat dalam senario politik di
Malaysia di mana sebuah parti politik memfitnah parti lawan yang lain kerana
mahukan kemenangan politik. Penyebarannya menggunakan media sosial menjadikan
fitnah ini berlaku tanpa kawalan.
iv)
Pertelingkahan organisasi
Perbuatan fitnah
media sosial yang berlaku di antara organisasi-organisasi boleh memberi kesan
kepada prestasi sesuatu organisasi itu. Apabila organisasi A menyebarkan fitnah
terhadap organisasi B, pandangan masyarakat akan menyebabkan perkhidmatan dan barangan
organisasi B tersebut tidak lagi dilanggan atau digunakan. Penggunaan media
sosial sebagai medium pula menyebabkan kehancuran organisasi B dengan lebih
cepat. Situasi ini boleh berlaku apabila sesuatu organisasi itu mahu memonopoli
pasaran perniagaan yang diceburinya. Persaingan tidak sihat seperti ini juga
akan turut membawa kepada kegagalan ekonomi negara.
v)
Kehancuran negara
Perkara yang
paling ditakuti akibat dari perbuatan fitnah ini ialah membawa kepada
kehancuran negara. Menurut Aminuddin Basir, Mohamad Sabri Haron dan Nik Yusri
Musa (2009), penyalahgunaan media komunikasi boleh menggugat keselamatan
negara. Apabila berlakunya isu-isu besar dalam kalangan pemimpin-pemimpin negara
disebabkan oleh fitnah dan disebarkan pula melalui media sosial, pasti akan
wujud pihak luar yang pantas berminat untuk mencampuri hal berkenaan sama ada
bertujuan untuk mengambil kesempatan atau kepentingan sendiri.
Langkah-langkah
Mengelakkan Perbuatan Fitnah Media Sosial
Sesetengah
fitnah media sosial ini dilakukan dengan sengaja iaitu oleh pencetusnya
manakala sesetengah lagi fitnah media sosial ini berlaku tanpa niat dilakukan
oleh pihak yang berkongsi maklumat yang disangka benar tetapi adalah suatu
fitnah sebenarnya, maka perkongsian fitnah ini turut menjadi pendosa. Maka,
individu seharusnya berhati-hati dalam menyebarkan maklumat kerana maklumat
tersebut berkemungkinan palsu dan menjadi suatu fitnah kepada orang lain. Oleh
itu, sebelum seseorang itu menulis dan berkongsi maklumat melalui media sosial,
beberapa langkah harus dilakukan terlebih dahulu. Langkah-langkah tersebut adalah:
i)
Penambahan Ilmu
Sebelum menulis
atau menyebarkan sesuatu maklumat melalui media sosial, seseorang itu haruslah
mempunyai ilmu dan menambah ilmu secara berterusan. Sekiranya seseorang itu
mempunyai ilmu, sesuatu maklumat itu dapat dikenalpasti sama ada rekaan atau
pun kenyataan ketika sesuatu maklumat itu diterima. Penyebaran ilmu yang salah
juga boleh membawa kepada fitnah. Firman Allah SWT:
"Dan janganlah engkau mengikut apa
yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran
dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya
tentang apa yang dilakukannya."
(Surah al-Israa', 17:36)
Berdasarkan ayat
di atas, jelas menunjukkan bahawa kita tidak boleh menuruti sesuatu yang tidak
kita ketahui. Melihat kepada perbuatan fitnah melalui media sosial pula,
penyebaran atas dasar perkongsian semata-mata tanpa ilmu pengetahuan adalah
sesuatu yang turut dilarang kerana boleh menyebabkan berlakunya fitnah.
ii)
Kesahihan bukti dan sumber
Pengesahan bukti
dan sumber ini telah lama wujud dalam Islam dalam periwayatan hadis di mana
kebenaran hadis itu dikenalpasti melalui sanad dan matannya. Dalam isu
berkaitan penyebaran maklumat melalui media sosial, seseorang yang mahu menulis
atau menyebarkan sesuatu maklumat melalui media sosial haruslah memastikan
sumber tulisannya itu adalah benar dan mempunyai bukti. Sekiranya bukti tidak
kukuh atau diragui, maka tidak sepatutnya disebarkan kepada orang ramai supaya
tidak menjadi fitnah kepada orang lain dan lebih baik ia diam berbanding
mengatakan perkara yang tidak baik. Daripada Abu Hurairah bahawasanya Nabi
Muhammad SAW telah bersabda:
“Sesiapa beriman dengan Allah dan Hari
Kiamat maka hendaklah dia berbuat baik kepada jiran tetangganya. Sesiapa
beriman dengan Allah dan hari kiamat maka hendaklah dia memuliakan tetamunya,
sesiapa beriman dengan Allah dan hari akhirat maka hendaklah dia bercakap yang
baik ataupun diam”.
(Riwayat al-Bukhari 6138, 78:165)
Berdasarkan
hadis di atas, jelas dinyatakan bahawa adalah lebih baik berdiam diri dari
bercakap perkara yang tidak baik termasuklah fitnah.
iii)
Keyakinan
Sebelum
menyebarkan sesuatu maklumat itu, hendaklah yakin bahawa maklumat tersebut
adalah benar setelah memenuhi kedua-dua perkara dia atas iaitu ilmu dan
kesahihan maklumat tersebut. Sekiranya yakin walaupun didapati sumbernya adalah
tidak benar atau tidak mempunyai pengetahuan dalam perkara tersebut, maka
tidaklah boleh maklumat tersebut disebarkan, manakala sekiranya tidak yakin walaupun
kedua-dua perkara tersebut telah dipenuhi, adalah lebih baik jika maklumat
tersebut tidak disebarkan.
Ketiga-tiga
langkah di atas adalah amat penting untuk dinilai sebelum sesuatu maklumat yang
diterima melalui media sosial itu diterima secara bulat-bulat. Rajah di bawah
menyimpulkan kaedah yang sesuai sebelum sesuatu penyebaran maklumat melalui
media sosial dilakukan:
Penutup
Penggunaan
media sosial saban hari semakin meluas. Fitnah hanyalah salah satu unsur bahaya
yang wujud dalam penggunaan media sosial kini. Sekiranya seseorang itu telah
sedar melakukan perbuatan fitnah ini, maka wajiblah baginya untuk memohon maaf
kepada orang yang difitnahnya itu. Demi pembangunan insaniah diri
masing-masing, setiap golongan sama ada individu mahupun organisasi seharusnya
berhati-hati menggunakan media sosial kerana di sebalik kebaikan penggunaan
media sosial tersembunyi pelbagai keburukan yang bukan setakat menjejaskan
orang lain, malah boleh menjejaskan akhlak dan akidah diri sendiri.
BIBLIOGRAFI
Aminuddin
Basir, Mohamad Sabri Haron dan Nik Yusri Musa (2009). Kebebasan
|
|||||||||||||
media
komunikasi menurut perspektif Islam. Jurnal
Hadhari Bil 2, 65-82.
|
|||||||||||||
|
|||||||||||||
arah
kesejahteraan berteraskan pembangunan insan. Akademi Pengajian Islam.
|
|||||||||||||
Syaifuddin
Zuhri (2012). The concept of fitnah in sūrah al-Baqarah verse 191 and
|
|||||||||||||
217 (By
analysis of Mohammed Arkoun’s semiotic). Thesis
Submitted to Faculty of Ushuluddin to Fulfill a Requirement to Gain
Undergraduate Degree in Islamic Theology (Tafsīr - Ḥadīth). Special Program
Of Ushuluddin Faculty State Institute Of Islamic Studies (Iain) Walisongo
Semarang.
|
|||||||||||||